Mungkin saudara saudari sekalian pernah terlintas istilah “Muslim Moden” atau slogan “Menjadi Muslim Moden.” Ia seakan-akan telah menjadi mentera sesetengah bomoh-bomoh modenisasi yang membayangkan seorang Muslim yang progresif, maju dan berdaya saing. Saya tersenyum sinis dengan kenyataan ini; progresif, maju, berdaya saing! Tiga istilah yang begitu indah bila digabungkan bersama bukan? Teringat pula iklan Perillis di kaca televisyen sewaktu saya di bangku sekolah dahulu; gaya, mutu, keunggulan!
Namun apakah sebenarnya makna disebalik istilah ‘Muslim Moden’ ini? Sejauh manakah sesuainya istilah ini? Menurut Al-Attas, bahasa merupakan alat fikri. Justeru, istilah-istilah yang digunakan menggambarkan pemahaman seseorang terhadap sesuatu perkara. Seyugianya, apakah yang boleh kita fahami dari istilah ‘moden’ yang digabungkan kepada ‘Muslim’ ataupun ‘manusia’ di dalam istilah ‘manusia moden’?
Dari karya Al-Attas yang berjudul ‘Islam and Secularism’ dan ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam’, saya boleh rumuskan istilah ‘moden’ ini bersumberkan tiga perkara yang penting dalam peradaban Barat. Yang pertama ialah pandangan Barat tentang sejarah peradaban manusia. Yang kedua ialah pandangan Barat terhadap hakikat insan. Yang ketiga ialah pandangan Barat terhadap konsep masa. Di dalam artikel yang singkat ini, saya hanya akan menghuraikan perkara yang pertama. Insya-Allah pada masa yang lain saya akan huraikan perkara yang kedua dan yang ketiga.
Menurut sarjana-sarjana Barat, kecuali mereka yang berpegang pada mazhab pascamodenisme, secara amnya sejarah peradaban manusia itu boleh diklasifikasikan kepada empat fasa: the Classical period, the Dark Ages, the Enlightenment period dan selanjutnya the Modern period. Secara ringkas, the Classical Period merujuk kepada peradaban Yunani purba dengan kecanggihan falsafah mereka, yang bertitik tolak daripada dua mazhab pemikiran yang paling berpengaruh dalam peradaban Barat yakni Aristu (Aristotle) dan Aflatun (Plato). Seterusnya, the Dark Ages, sebagaimana yang dapat kita fahami dari istilah ‘dark’ ataupun gelap, merujuk kepada kegelapan yang dilalui masyarakat Barat akibat penindasan gereja dalam arena sosio-politik dan ekonomi dan pemikiran jumud yang berasaskan pemahaman paderi-paderi mereka terhadap kitab Bible. Zaman itu telah diketahui secara masyhurnya sikap negatif paderi-paderi terhadap penemuan-penemuan empirikal yang dikhuatirnya akan melemahkan keyakinan masyarakat terhadap agama Kristien dan justeru kepada kepimpinan gereja. Dengan demikian, zaman itu disifatkan sebagai zaman kegelapan, disebabkan kegelapan yang dibawa agama Kristien yang menindas cahaya yang dibawa ‘agama’ sains dan falsafah. Apabila masyarakat Barat berjaya membebaskan diri mereka dari belenggu agama dan wahyu, mereka menyifatkan perkara ini sebagai suatu pencerahan, kerana mereka akhirnya dapat dicerahkan oleh cahaya sains dan falsafah. Dengan proses inilah maka istilah sekular, sekularisme dan sekularisasi dilahirkan untuk menggambarkan dengan tepat kehampaan masyarakat Barat secara amnya terhadap agama. Ini adalah kerana makna sekular sebenarnya merujuk kepada orang awam yang bersifat duniawi, yang berjaya mengatasi paderi-paderi suci yang bersifat ukhrawi.
Dengan itu, kita jelas dapat gambarkan sikap masyarakat Barat secara amnya terhadap agama, yang dilihat sebagai punca kejahilan dan penindasan. Zaman Enlightenment ataupun Pencerahan ini juga disebuat sebagai ‘Rennaisance’, yang bermaksud ‘dilahirkan semula’. Apa yang dimaksudkan disini ialah perubahan paradigma masyarakat Barat dari wahyu dan agama kepada akal dan falsafah. Justeru mereka seolah-olah ‘dilahirkan semula’, kerana berjaya mengingatkan kembali akan ‘asal’ mereka yakni pemikiran dan kebenaran yang berasaskan falsafah. Justeru mereka mengemaskinikan ajaran Aristu dan Aflatun ini menjadi dua mazhab pemikiran besar yang saling bertengkaran; mazhab Rasionalisme dan mazhab Empirikalisme. Rasionalisme membayangkan bahawa kebenaran itu hanya dapat dicapai oleh akal fikiran manakala Empirikalisme itu berpendapat bahawa kebenaran itu hanya dapat dicapai oleh penemuan yang dapat digarapi pancaindera. Meskipun mempunyai perbezaan yang ketara, kedua-dua mazhab ini secara amnya mempunyai sikap yang sama terhadap agama, yakni agama itu harus dibuang sahaja dari kamus pemikiran orang Barat. Beberapa abad kemudian, mazhab Rasionalisme ini berjaya dikalahkan oleh mazhab Empirikalisme, sehingga lahirnya apa yang kita fahamkan sebagai sains moden dan justeru zaman moden.
Inilah pengalaman yang dilalui orang Barat. Tetapi adakah pengalaman yang sama dilalui oleh orang Muslim? Apakah pandangan Muslim terhadap sejarah peradaban manusia? Bolehkah kita klasifikasikan sejarah Islam kepada empat fasa yang dilalui orang Barat? Adakah kita pernah lalui kesemua itu? Adakah kebenaran dan kemajuan itu hanya dapat dicapai dengan sains moden? Apakah pandangan Islam terhadap kebenaran dan terhadap sains moden? Atau lebih penting lagi, apakah pandangan Islam terhadap agama?
Mungkin saya ini bersikap agak melampau dalam melontarkan terlalu banyak persoalan untuk sang pembaca. Maafkan saya. Tetapi inilah persoalan-persoalan yang bagi saya begitu penting untuk menyelesaikan masalah pemikiran ummat. Inilah ‘peperangan’ yang yang umat Islam sebenarnya harus melibatkan diri. Bukan kepada polemik-polemik yang basi dan melemahkan perpaduan. Juga bukan kepada perdebatan mengenai butir-butir yang bersifat trivial, contohnya, mengenai maulid, tahlil, menyimpan janggut dan sebagainya.
Masyarakat Barat jelas tidak mempunyai monopoli atas kebenaran dan pemahaman terhadap istilah-istilah tertentu, terutama sekali terhadap makna progresif, maju dan berdaya saing!
Mungkin persoalan-persoalan besar ini dapat kita fikirkan bersama insya-Allah.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteSedikit komen,
1. Zaman klasik itu ada 2 bahagian: Falasfah dan ilmu kaji alam daripada tamadun Yunani, dan empayar daripada tamadun Rom.
2. Zaman 'Renaissance' itu merupakan zaman 'rediscovery', dan zaman 'Enlightenment' merupakan zaman dimana mereka merasakan bahawa mereka boleh 'berdiri sendiri' untuk 'maju kehadapan. Logik dan rasional diagung-agungkan dalam kedua-dua zaman ini, tetapi zaman 'Enlightenment' merupakana zaman dimana mereka merasakan segala-galanya boleh dirasionalkan. Ini kemudiannya ditentang oleh golongan-golongan Romantis (Romanticism) yang juga menyumbang kepada pemikiran 'moden'.
Wallahua'lam