Sunday, February 27, 2011

Pendidikan Tentang Agama Harus Dilalui Dengan Ketertiban Dan Kesabaran

Oleh Siti Aisyah Jamil

Umat Islam kini mengalami pelbagai kesukaran untuk bangun dan memperbetulkan keadaan dunia yang semakin dicengkam berbagai dimensi kezaliman. Demi mencari huraian bagi permasalahan inilah timbul gesaan agar adanya usaha mencantas dari akarnya.  Justeru itu, kita harus bermula dengan memperbetulkan pemahaman tentang hakikat Islam.

Kejahilan terhadap perkara dasar seperti faham makna agama dan faham ilmu menyebabkan kezaliman mula tersebar di merata tempat. Zalim di sini merujuk kepada perbuatan di mana sesuatu perkara itu tidak diletakkan pada tempatnya yang wajar. Kezaliman boleh juga berlaku tatkala pelbagai kritikan atau lontaran kekata yang sinis terhadap Islam. Tidak kurang juga mereka yang sering menyoalkan sesuatu itu tanpa meneliti martabat ilmu dan kefahaman yang ada padanya ketika melontarkan soalan-soalan besar sebagai contoh soal qadha’ dan qadar. Soalan-soalan sebegini menampakkan tahap kefahamannya yang rendah mengenai perkara pokok iaitu rukun Islam, rukun Iman dan Sifat-Sifat Ilahi. Padahal, ilmu asasi inilah yang mesti diselesaikan dan kenal dengan sempurna terlebih dahulu. Bila perkara-perkara ini telah dipelajari, maka si penimba ilmu tiada lagi akan melontarkan soalan mengenai qadha' dan qadar kerana soalan itu akan terjawab sendiri dalam proses pendidikan yang tertib dan bertahap-tahap

Punca terjadinya rangkaian kealpaan-kejahilan-kezaliman ini bertitiktolak daripada kekeliruan ilmu. Harus difahamkan bahawa ilmu memerlukan dua proses yakni pengenalan (recognition) di mana tibanya ma’na dalam diri dan yang keduanya, pengakuan (acknowledgement) di mana tibanya diri kepada ma’na dan tahap kedua ini memerlukan suatu respons. Tidak hanya cukup pengenalan sahaja; setiap yang dikenali harus diikuti dengan amalan yang menunjukkan bahawa si penimba ilmu benar-benar mengakui ilmu yang digarapinya itu. Apa pula yang diertikan dengan ma’na? Secara mudahnya, ia bermaksud hakikat tentang sesuatu. Ma’na itu tiba bilamana kita kenal kedudukan sesuatu itu dengan hubungannya dengan sesuatu yang lain di dalam satu sistem dan juga tujuan sesuatu itu perlulah jelas. Contoh yang boleh diberikan ialah sebuah pena. Tidaklah mencukupi jika makna mengenai pena itu hanya disempitkan kepada bentuk fizikalnya sahaja (physical specifications). Ma'na sebenar pena harus juga merujuk kepada si pengguna pena yang harus menyedari bahawa tujuan pena ini ialah untuk menulis perkara yang baik-baik sahaja; tidak boleh yang beransur fitnah ataupun kemaksiatan. Ini yang dimaksudkan sebagai hubungan pena-pengguna dalam sesuatu sistem. Malangnya, dalam budaya ilmu Barat, sesuatu objek itu dikaji hanya sebagai objek semata-mata, tercerai daripada garisan etika yang ditetapkan syariah ataupun "the limit of truth."

Tambahan pula, dalam Islam, ilmu mesti dimulakan dengan yaqin dan inilah prisip awal ilmu, berbeza dengan budaya ilmu lainnya. Contohnya, meskipun sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali dan para sarjana falsafah Yunani (Greek) seakan-akan bermula dengan andaian, namun perbezaan di antara mereka amatlah jelas. Imam al-Ghazali bermula dengan sesuatu yang diyakini tetapi hal ini tidak ada pada sarjana falsafah Yunani misalnya dalam konsep kewujudan Tuhan. Justeru ini bercanggah dengan dialectic method yang menjadi teras keilmuan Barat, yang sentiasa mencurigai segala perkara. Dengan demikian, falsafah Barat tidak mungkin akan mencapai kebenaran; kerana kebenaran itu sentiasa diragui.

Justeru, pendidikan semula seseorang insan agar membentuk “insan adabi” yakni insan yang beradab di mana proses menuntut ilmu pengenalan-pengakuan berlaku merupakan matlamat akhir pendidikan Islam. Jawapan bagi persoalan yang kompleks misalnya qadha’ dan qadar, hanya boleh digarap dengan menempuh pelajaran serta pendidikan semula mengenai Islam dan pandangan alam. Hakikat yang ditayang olehnya akan terjawab, sejajar dengan martabat kefahamannya yang akan meningkat dari tahap ke tahap yang lebih tinggi.

Thursday, February 24, 2011

Peranan Masjid di zaman awal kebangkitan Islam

Penulis kita Siti Aisyah Jamil memberikan komentar tentang institusi masjid sebagai wadah perkembangan ilmu dan intelektual

Peranan Masjid di zaman awal kebangkitan Islam

Masjid merupakan sebuah instutusi pertama dibina semasa peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah. Dapat diperhatikan peri pentingnya institusi masjid yang sememangnya mempunyai pelbagai fungsi atau peranan. Pada zaman awal Islam dan zaman kegemilangannya, masjid dijadikan tempat di mana aktiviti kemasyarakatan, sosial, keilmuan dan pendidikan, riadah dan sebagainya berkembang. Tidak keterlaluan jika dikatakan institusi masjid ketika zaman itu merupakan nadi pengkajian ilmiah, penajaman pemikiran, penyempurnaan akhlak dan seterusnya menyumbang kepada sebuah peradaban atau tamadun.

Dari segi etimologinya, masjid berasal dari kata dasar sujud yang membawa maksud ta’at, patuh, tunduk dengan penuh hormat. Walaupun begitu, peranan masjid bukan hanya menyediakan tempat yang selesa untuk melakukan solat. Namun, harus difahamkan bahawa masjid merupakan tempat di mana aktiviti yang mencakupi pelbagai bidang diadakan sebagai manifestasi dari ketaatan kepada Allah s.w.t.

Keadaan awal Masjid Nabawi adalah amat sederhana. Namun begitu, peranan yang dimainkan bukanlah tertumpu kepada skop yang kecil. Bermodalkan masjid yang kecil inilah, Rasulullah s.a.w. membangunkan dunia melalui penggunaan maksima segenap potensi umat Islam hinggakan lahirlah Madinah, di mana secara harfiyahnya bermakna “pusat peradaban”.

Paling tidak, dari masjid yang bermula dengan keadaan sederhana itulah tertanamnya benih-benih peradaban baru umat manusia.  Di antara fungsi Masjid Nabawi sewaktu zaman Rasulullah s.a.w. ialah pusat perlindungan bagi golongan miskin dan para musafir dan juga tempat bermusyawarah dengan para Sahabat bagi mendapatkan pandangan tentang sesuatu isu. Menariknya, di Masjid Nabi terdapat sekumpulan pengkaji ilmu dan sarjana yang dikenali sebagai Ahl al-Suffah dan budaya ini diteruskan sepanjang sejarah tamadun Islam.

Pada zaman Sahabat pula peranan masjid tiada beza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Fungsi utama tetap dua perkara yakni fungsi keagamaan seperti solat, dzikir, du’a dan iktikaf dan keduanya peranan sosial termasuk pusat administrasi pemerintahan, tempat permusyawarahan soal keagamaan serta tempat penerimaan tamu negara.

Dari itu, sebuah pembaharuan dari cara melihat peranan masjid-masjid sepatutnya dilakukan segera. Ini adalah kerana dengan pemahaman yang jelas dan lengkap terhadap fungsi masjid, kedudukannya yang stategik dan dekat dengan masyarakat memudahkan berbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan khidmat-khidmat yang diperlukan.

Meskipun pembelajaran dan pendidikan dalam Islam tidak hanya terbatas kepada tempat fizikal seperti bilik kuliah namun ini tidak menafikan peranan sebuah institusi pendidikan. Para pemikir Islam sepanjang sejarah tamadun Islam telah memperkenalkan tidak sedikit instutusi dan amalan-amalan ilmiah yang masih lagi digunapakai hingga kini contohnya konsep universiti, hospital (juga dikenali sebagai barismatan) dan pusat pemerhatian bintang (observatory), di mana semua ini bermula dengan masjid.

Oleh kerana masjid berperanan penting dalam melahirkan masyarakat Islam cemerlang dengan membudayakan ilmu di dalam institusi ini, harus ada usaha mengembalikan semula fungsi yang telah sekian lama dilupakan tersebut. Justeru, sdiharapkan dengan meletakkan peranan masjid di tempat yang wajar akan tertanam jua benih-benih yang melahirkan generasi umat Islam cemerlang yang membangunkan peradaban Islam.

Rujukan
Mariani Yahya (ed.), 2005, Pemikir Islam, Singapura: Majlis Ugama Islam Singapura.

Dr. Makhmud Syafe’i, Masjid Dalam Perspektif Sejarah dan Hukum Islam, http://file.upi.edu/Direktori/B%20-%20FPIPS/M%20K%20D%20U/195504281988031%20-%20MAKHMUD%20SYAFE%27I/MASJID%20DALAM%20PRESPEKTIF%20SEJARAH%20DAN%20HUKUM%20ISLAM%20%2810%20HALAMAN%29.pdf

Muhammad Hisyam Bin Mohamad, Kelesuan Institusi Masjid, http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=936&cmd=resetall

Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam: Pendahuluan

Guru kita Syed Muhammad Naquib Al-Attas memberikan peringatan kepada kaum Muslimin tentang cabaran modenisasi dan pemikiran yang melanda, samada disedari ataupun tidak.

PENDAHULUAN

Lebih tiga puluh tahun dahulu (1973) saya telah menulis tentang kerosakan meluas lagi mendalam dalam ilmu dan akhlak masyarakat Islam sezaman; dan masalah ini masih giat menggenting di kalangan kita dan masih luput dari kefahaman dalam rangka tinjauan yang benar. Maksud saya dalam menjelaskan kedudukan kita yang sungguh bermasalah itu iaitu untuk menyedarkan Kaum Muslimin agar bersedia, dengan cara akliah yang sihat berdasarkan ilmu yang kukuh, untuk berdaya menahan tersebarnya wabak pensekularan yang ditiup angin ributnya ke merata dunia, dan untuk berani menjelmakan perubahan-perubahan yang wajib dilakukan dalam pemikiran kita yang masih terumbang-ambing dalam gelora keraguan diri. Nilai-nilai pensekularan serta pelbagai peristiwa yang berikut darinya, yang dahulu telah saya ramalkan akan berlaku di Dunia Islam, kini sudah mulai mengembang dengan derasnya disebabkan kehampaan faham dan kelalaian Kaum Muslimin akibat kejahilan akan sifat sebenar serta urutan-urutan selanjutnya peri erti pensekularan sebagai suatu rencana falsafah moden dan pascamoden. Rencana falsafah moden dan pascamoden yang saya maksudkan menganjurkan suatu pandangan mengenai hakikat dan kebenaran yang menayangkan suatu pandangan alam tertentu.

Agama, dalam erti yang kita maksudkan, tiada menentang pengosongan alam tabii dari sebarang ma’na ruhaniah sekiranya pengosongan tersebut bermaksud pada peyingkiran dari kefahaman kita segala pandangan alam yang dipadati dengan dewa-dewi mitos dan kesaktiannya, alam yang dicitakan oleh khayalan etnik yang menjelmakan keajaiban tahyul. Kerana sesungguhnya alam tabii tetap mengandung ma’na ruhani tanpa mitos dan keajaiban tahyul sekiranya ia dipandang sebagai kenyataan suatu kekudusan yang merupakan pelbagai hakikat dalam citaan dan kesedaran Pencipta yang urutan-urutannya membekas nyata di alam indera dan pengalaman inderawi. Alam tabii, dari pihak dirinya sendiri, bukan sesuatu yang harus dipuja sebagai sembahan mengandung sifat ketuhanan; akan tetapi bagaimanapun ia adalah suatu tanda, lambang dan simbol yang menyatakan Penciptanya Tuhan Sarwa Alam. Sesungguhnya, dalam erti yang kita maksudkan, seluruh alam tabii, bukan sekadar suatu phon atau batu, mengishtiharkan kehadiran yang kudus kepada mereka yang melihat hakikat di sebalik kenyataan yang terpamir di hadapannya. Agama hanya menentang pengosongan alam tabii dari sebarang kekudusan sekiranya ia berma’na menghapuskan segala keruhanian dari pengertian kita terhadap alam tabii, dan membataskan dayakuasa pengetahuan kita pada cara dan gaya kaedahh sains belaka seperti yang dianjurkan oleh falsafah dan sains sekular.

Tuhan yang Mahaesa bukan suatu mitos, suatu gambaran yang dicitakan, suatu simbol yang senantiasa berubah dalam akal fikri mengikut perubahan masa. Dia adalah Hakikat semata-mata. Iman mengandung unsur ilmi yang memahamkan tentang kebenaran pada akal insani;  dan salah satu titik perbezaan antara agama dan falsafah dan sains sekular ialah cara dan kaedah kita memahami erti sumber dan kaedah ilmu.

Falsafah moden telah mengambil peranan pentafsir sains, dan menyusunaturkan pelbagai pendapat yang dihasilkan oleh sains tabii dan sains sosial sebagai suatu pandangan alam. Pentafsiran itu pula, mengikut gilirannya, bergantung pada arah yang akan diambil oleh sains dalam kajiannya terhadap alam tabii. Maka pentafsiran tentang kenyataan-kenyataan serta kesimpulan-kesimpulan am sains, dan arah yang dituju oleh sains mengikut garis-garis yang ditunjukkan oleh pentafsiran itulah yang mesti dikaji dengan teliti dan dinilai kesahihannya, sebab dia mengemukakan kepada kita kini permasalahan paling mendalam mempengaruhi aliran sejarah keagamaan dan pemikiran kita. Penilaian kita tentunya memestikan tinjauan tajam serta penyelidikan memerinci terhadap cara dan kaedah ilmiah sains moden; konsep-konsep, praandaian-praandaian, dan simbol-simbolnya; segi-segi empirikal dan rasionalnya, segi-segi yang mempengaruhi nilaian dan akhlak; pentafsirannya mengenai perkara asal-usul; teorinya mengenai ilmu; praandaian-praandaiannya tentang kewujudan alam luaran, tentang kesamaan resmi alam tabii, dan keupayaan akal fikri memahami gaya berlakunya rangkaian perubahan padanya; teorinya mengenai alam semesta; klasifikasinya terhadap ilmu-ilmu; batasan-batasannya serta saling berkaitannya dengan ilmu-ilmu satu sama lain; dan keberkaitannya dengan perkara sosial.

Sains masani telah timbul dan berkembang dari falsafah yang sedari awal-mulanya mengikrarkan kemenjadian segala benda dari satu sama lain. Tiap yang mawjud merupakan suatu keberlakuan berangkai, suatu perkembangan atau evolusi yang bermula daripada apa yang sudah sedia terpendam dalam kesemulajadian yang tiada awal-akhirnya. Alam ini, dipandang dari sudut tinjauan ini, adalah suatu yang kadim berdiri dengan sendiri, bergantung pada sistemnya sendiri dan berevolusi mengikut undang-undangnya sendiri. Penafian hakikat serta wujud Tuhan yang Mahaesa sudah sedia tersirat dalam falsafah ini. Cara dan kaedah ilmiah yang dianutinya dan dianggap utama adalah rasionalisme falsafi, yang mengutamakan dan bergantung pada akal fikri semata-mata tanpa bantuan dari pengalaman indera jasmani, rasionalisme sekular, yang sambil menerima akal fikri namun lebih mengutamakan kenyataa bersumberkan pengalaman indera jasmani, dan menafikan sahnya kenyataan yang datang dari ilham dan dari yang berwibawa serta menolak Wahyu dan agama sebagai sumber ilmu sejati; dan empirikisme falsafi atau empirikisme mantiki, yang mendasarkan semua ilmu pada fakta-fakta yang boleh diperhatikan oleh pancaindera pada pelbagai kesimpula rekaan ilmu mantik dan analisa bahasa. Pandangan hakikat yang terlihat dari sudut tinjauan kedua faham rasionalisme dan empirikisme ini berasas pada landasan yang membataskan hakikat hanya pada alam tabii, yang dianggap sebagai satu-satunya peringkat kebenaran hakiki. Pembatasan demikian itu berikut dari pengurangan kuasa dan upaya ilmi dan fikri hanya dapat bertindak dalam gelanggang hakikat jisim dan jirim. Dalam sistem ini, ilmu hanya sah apabila ia berkenaan dengan kebiasaaan peraturan segala yang berlaku dan keberkaitannya satu sama lain. Dan tujuan penyelidikan dalam menuntut ilmu ialah bagi memeri serta menerang dan mensistemkan apa yang berlaku dalam alam tabii, ya’ni jumlah segala benda dan keadaan yang berlaku dalam ruang dan masa. Alam tabii diperikan semata-mata sebagai keadaan biasa diperikan dengan menggunakan istilah-istilah rasional yang menyingkirkan erti sifat keruhanian yang tersirat dalamnya, atau pentafsiran simbolis terhadapnya, sehingga asal-mula dan hakikatnya hanya bergantung pada kuasa-kuasa tabii belaka.

Rasionalisme, kedua-duanya yang falsafi dan yang sekular, dan empirikisme cenderung ke arah menafikan kewibawaan ilmiah dan ilham atau intuisi sebagai salah suatu sumber dan kaedah ilmu. Yang mereka nafikan itu bukan ada terdapatnya kewibawaan dan intuisi, akan tetapi ini tiada berma’na bahawa oleh kerana itu kewibawaan dan intuisi harus dikurangkan luasan serta rangkuman ertinya pada luasan dan rangkuman akal fikri dan pengalaman jasmani. Sekiranya diterima bahawa di peringkat biasa kesedaran insan sekalipun, ada terdapat daya akal dan pengalaman yang berperingkat-peringkat dan yang batasannya masing-masing dikenali serta diakui; maka tiada sebab untuk menolak penerimaan bahawa ada terdapat peringkat-peringkat yang lebih luhur dalam kesedaran dan pengalaman insan yang melampaui kesedaran dan pengalaman biasa, dan yang dalamnya terdapat peringkat-peringkat pengenalan ilmi, akali dan ruhani, dan pengalaman yang meluhuri daya indera jasmani, yang batas-batasnya hanya diketahui oleh Tuhan yang Mahaesa.

Mengenai ilham ya’ni intuisi pula, kebanyakan pemikir rasionalis, sekularis dan empirikis serta para ahli psikologis telah mengurangkan ertinya kepada perolehan pengalaman biasa, iaitu kepada pemerhatian inderawi dan kesimpulan-kesimpulan mantiki yang telah lama terperam difikir-renungkan dalam akal fikri dan yang ma’nanya kemudian tiba-tiba menjadi ketahuan, atau kepada keadaan inderawi dan emosi yang perasaannya semakin meningkat sehingga tiba-tiba keluar menjadi ketahuan. Akan tetapi anggapan mereka ini adalah dugaan belaka, kerana tiadapat bukti bahawa pengetahuan yang tiba-tiba mendatang dalam kefahaman itu datangnya dari pengalaman inderawi. Lagi pula penafian mereka tentang adanya hujahnya mengenai intuisi, itupun bersifat dugaan belaka.

Oleh kerana insan jua yang menanggap dengan indera jasmani serta mengkonsepsikan alam benda dan kejadian-kejadian yang berlaku di luar dirinya, maka pengkajian alam tabii termasuklah juga penelitian tentang diri insan itu sendiri. Akan tetapi pengkajian tentang insan, tentang akal fikri, dan tentang dirinya pun diterbataskan pada kaedah-kaedah dan prinsip ilmu-ilmu baharu seperti psikologi, biologi dan antropologi, yang menganggap insan itu hanya sebagai suatu perkembangan suku-jenis haiwan yang lebih luhur martabatnya dalam peringkat hayawaniah, dan yang merupakan tiada lain dari lanjutan-lanjutan kaedah dan prinsip membataskan akal dan pengalaman kepada peringkat jismi belaka. Lagi pula, untuk mentahkikkan segala hipotesis dan teori sains, menurut mereka, memerlukan kecocokan dengan fakta-fakta yang dapat diperhatikan. Bagaimanapun, oleh kerana hipotesis-hipotesis dan teori-teori yang bercanggahan satu sama lain pun masih tetap boleh cocok dengan fakta yang diperhatikan, dan oleh kerana kesukaan untuk memilih yang satu berlawan dengan yang lain itu tiadapat dipastikan oleh suatu ukuran kebenaran yang objektif – ini kerana kebenaran dimestikan harus cocok dengan fakta -  maka pemilihan itu ditentukan hanya oleh pertimbangan-pertimbangan yang bergantung pada adat kebiasaan umum. Maka bergantungnya pada adat kebiasaan umum ini telah menimbulkan kecenderungan menganggap mayarakat, dan bukan orang persendirian, sebagai ukuran terakhir, sebagai yang benar dan yang berwibawa. Pengabdian pada adat kebiasaan ini telah menyusutkan semua bentuk institusi insani sebagai ciptaan “akal sekumpul” yang konon dimiliki oleh masyarakat. Ilmu sendiri, dan juga bahasa insani sekalipun, tiada lain melainkan alat, serta penjelmaan hasil akal sekumpul dewa yang tiadapat diperkatakan yang digelar Masyarakat.

Akhirnya,  syak telah disanjung sebagai suatu kaedah epistermologi yang dengannya golongan rasionalis dan sekularis percaya bahwa mereka boleh sampai kepada kebenaran. Akan tetapi tiada bukti bahawa penyampaian kepada kebenaran itu datangnya dari syak, dan bukan dari yang lain dari syak. Syak adalah keadaan hati yang teragak-agak tiada menentu antara dua perkara yang bertentangan dan yang hati itu tiada memberat menyebelahi mana-mana satu antaranya kedua; ia adalah suatu keadaan hati berdiam resah di tengah-tengah dua perkara bertentangan tanpa cenderung ke arah yang satu atau yang lain. Sekiranya hati cenderung ke arah ayang satu sedangkan tiada jua ia menolak yang lain, maka ia telah tiba pada makam yakin. Penolakan yang lain oleh hati itu bukan disebabkan oleh syak akan kebenarannya, akan tetapi ia merupakan pengenalan yang pasti tentang kesilapan dan kepalsuannya. Inilah hidayah. Syak, walaupun berlaku menetap, atau hanya untuk sementara, menuju ke arah salah satu pendiririan merupakan dugaan atau keadaan tiada yakin, dan tiada sekali-kali ia menuju ke arah kebenaran – “dan sia-sia dugaan dapat mengatasi kebenaran.” (al-Qur’ãn, 10 : 36).

Berdasarkan pada pendirian yang telah didirikan teguh oleh tradisi falsafah dan sains kita sebagai suatu sistem metafisika yang bersepadu lagi bercocokan tinjauan ma’nawinya, kita akui memang ada terdapat banyak persamaan antara pendirian kita dengan pendirian falsafah dan sains moden sezaman mengenai sumber serta kaedah ilmu; kesatuan cara rasional dan empirikal untuk mencapai ilmu; gabungan faham realisme, idealisme, dan pragmatisme sebagai dasar ilmi bagi suatu falsafah sains; falsafah dan sains berkelakuan berangkai. Namun persamaan ini, yang seolah-olah jelas kelihatan, hanya mengenai wajah-wajah luaran, dan tiada menghapuskan perbezaan mendalam yang timbul dari beberapa perbezaan penting dalam pandangan alam dan kepercayaan kita tentang sifat terakhir Hakikat. Pengikraran kita terhadap Tanzil sebagai sumber sejati mengenai ilmu tentang hakikat dan kebenaran terakhir perihal ciptaanraya an Penciptannya, memberikan kita suatu dasar bagi mendirikan rangka metafisika yang dalamnya boleh sibuat huraian meneliti tentang falsafah sains kita sebagai suatu sistem yang bersepadu, yang memerikan hakikat dan kebenaran dengan cara yang tiada terbuka bagi cara-cara kaedah sekular rasionalisme falsafi dan empirikisme falsafi yang dianuti falsafah dan sains moden.