Peranan Masjid di zaman awal kebangkitan Islam
Masjid merupakan sebuah instutusi pertama dibina semasa peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah. Dapat diperhatikan peri pentingnya institusi masjid yang sememangnya mempunyai pelbagai fungsi atau peranan. Pada zaman awal Islam dan zaman kegemilangannya, masjid dijadikan tempat di mana aktiviti kemasyarakatan, sosial, keilmuan dan pendidikan, riadah dan sebagainya berkembang. Tidak keterlaluan jika dikatakan institusi masjid ketika zaman itu merupakan nadi pengkajian ilmiah, penajaman pemikiran, penyempurnaan akhlak dan seterusnya menyumbang kepada sebuah peradaban atau tamadun.
Dari segi etimologinya, masjid berasal dari kata dasar sujud yang membawa maksud ta’at, patuh, tunduk dengan penuh hormat. Walaupun begitu, peranan masjid bukan hanya menyediakan tempat yang selesa untuk melakukan solat. Namun, harus difahamkan bahawa masjid merupakan tempat di mana aktiviti yang mencakupi pelbagai bidang diadakan sebagai manifestasi dari ketaatan kepada Allah s.w.t.
Keadaan awal Masjid Nabawi adalah amat sederhana. Namun begitu, peranan yang dimainkan bukanlah tertumpu kepada skop yang kecil. Bermodalkan masjid yang kecil inilah, Rasulullah s.a.w. membangunkan dunia melalui penggunaan maksima segenap potensi umat Islam hinggakan lahirlah Madinah, di mana secara harfiyahnya bermakna “pusat peradaban”.
Paling tidak, dari masjid yang bermula dengan keadaan sederhana itulah tertanamnya benih-benih peradaban baru umat manusia. Di antara fungsi Masjid Nabawi sewaktu zaman Rasulullah s.a.w. ialah pusat perlindungan bagi golongan miskin dan para musafir dan juga tempat bermusyawarah dengan para Sahabat bagi mendapatkan pandangan tentang sesuatu isu. Menariknya, di Masjid Nabi terdapat sekumpulan pengkaji ilmu dan sarjana yang dikenali sebagai Ahl al-Suffah dan budaya ini diteruskan sepanjang sejarah tamadun Islam.
Pada zaman Sahabat pula peranan masjid tiada beza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Fungsi utama tetap dua perkara yakni fungsi keagamaan seperti solat, dzikir, du’a dan iktikaf dan keduanya peranan sosial termasuk pusat administrasi pemerintahan, tempat permusyawarahan soal keagamaan serta tempat penerimaan tamu negara.
Dari itu, sebuah pembaharuan dari cara melihat peranan masjid-masjid sepatutnya dilakukan segera. Ini adalah kerana dengan pemahaman yang jelas dan lengkap terhadap fungsi masjid, kedudukannya yang stategik dan dekat dengan masyarakat memudahkan berbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan khidmat-khidmat yang diperlukan.
Meskipun pembelajaran dan pendidikan dalam Islam tidak hanya terbatas kepada tempat fizikal seperti bilik kuliah namun ini tidak menafikan peranan sebuah institusi pendidikan. Para pemikir Islam sepanjang sejarah tamadun Islam telah memperkenalkan tidak sedikit instutusi dan amalan-amalan ilmiah yang masih lagi digunapakai hingga kini contohnya konsep universiti, hospital (juga dikenali sebagai barismatan) dan pusat pemerhatian bintang (observatory), di mana semua ini bermula dengan masjid.
Oleh kerana masjid berperanan penting dalam melahirkan masyarakat Islam cemerlang dengan membudayakan ilmu di dalam institusi ini, harus ada usaha mengembalikan semula fungsi yang telah sekian lama dilupakan tersebut. Justeru, sdiharapkan dengan meletakkan peranan masjid di tempat yang wajar akan tertanam jua benih-benih yang melahirkan generasi umat Islam cemerlang yang membangunkan peradaban Islam.
Rujukan
Mariani Yahya (ed.), 2005, Pemikir Islam, Singapura: Majlis Ugama Islam Singapura.
Dr. Makhmud Syafe’i, Masjid Dalam Perspektif Sejarah dan Hukum Islam, http://file.upi.edu/Direktori/B%20-%20FPIPS/M%20K%20D%20U/195504281988031%20-%20MAKHMUD%20SYAFE%27I/MASJID%20DALAM%20PRESPEKTIF%20SEJARAH%20DAN%20HUKUM%20ISLAM%20%2810%20HALAMAN%29.pdf
Muhammad Hisyam Bin Mohamad, Kelesuan Institusi Masjid, http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=936&cmd=resetall
No comments:
Post a Comment