Umat Islam kini mengalami pelbagai kesukaran untuk bangun dan memperbetulkan keadaan dunia yang semakin dicengkam berbagai dimensi kezaliman. Demi mencari huraian bagi permasalahan inilah timbul gesaan agar adanya usaha mencantas dari akarnya. Justeru itu, kita harus bermula dengan memperbetulkan pemahaman tentang hakikat Islam.
Kejahilan terhadap perkara dasar seperti faham makna agama dan faham ilmu menyebabkan kezaliman mula tersebar di merata tempat. Zalim di sini merujuk kepada perbuatan di mana sesuatu perkara itu tidak diletakkan pada tempatnya yang wajar. Kezaliman boleh juga berlaku tatkala pelbagai kritikan atau lontaran kekata yang sinis terhadap Islam. Tidak kurang juga mereka yang sering menyoalkan sesuatu itu tanpa meneliti martabat ilmu dan kefahaman yang ada padanya ketika melontarkan soalan-soalan besar sebagai contoh soal qadha’ dan qadar. Soalan-soalan sebegini menampakkan tahap kefahamannya yang rendah mengenai perkara pokok iaitu rukun Islam, rukun Iman dan Sifat-Sifat Ilahi. Padahal, ilmu asasi inilah yang mesti diselesaikan dan kenal dengan sempurna terlebih dahulu. Bila perkara-perkara ini telah dipelajari, maka si penimba ilmu tiada lagi akan melontarkan soalan mengenai qadha' dan qadar kerana soalan itu akan terjawab sendiri dalam proses pendidikan yang tertib dan bertahap-tahap
Punca terjadinya rangkaian kealpaan-kejahilan-kezaliman ini bertitiktolak daripada kekeliruan ilmu. Harus difahamkan bahawa ilmu memerlukan dua proses yakni pengenalan (recognition) di mana tibanya ma’na dalam diri dan yang keduanya, pengakuan (acknowledgement) di mana tibanya diri kepada ma’na dan tahap kedua ini memerlukan suatu respons. Tidak hanya cukup pengenalan sahaja; setiap yang dikenali harus diikuti dengan amalan yang menunjukkan bahawa si penimba ilmu benar-benar mengakui ilmu yang digarapinya itu. Apa pula yang diertikan dengan ma’na? Secara mudahnya, ia bermaksud hakikat tentang sesuatu. Ma’na itu tiba bilamana kita kenal kedudukan sesuatu itu dengan hubungannya dengan sesuatu yang lain di dalam satu sistem dan juga tujuan sesuatu itu perlulah jelas. Contoh yang boleh diberikan ialah sebuah pena. Tidaklah mencukupi jika makna mengenai pena itu hanya disempitkan kepada bentuk fizikalnya sahaja (physical specifications). Ma'na sebenar pena harus juga merujuk kepada si pengguna pena yang harus menyedari bahawa tujuan pena ini ialah untuk menulis perkara yang baik-baik sahaja; tidak boleh yang beransur fitnah ataupun kemaksiatan. Ini yang dimaksudkan sebagai hubungan pena-pengguna dalam sesuatu sistem. Malangnya, dalam budaya ilmu Barat, sesuatu objek itu dikaji hanya sebagai objek semata-mata, tercerai daripada garisan etika yang ditetapkan syariah ataupun "the limit of truth."
Tambahan pula, dalam Islam, ilmu mesti dimulakan dengan yaqin dan inilah prisip awal ilmu, berbeza dengan budaya ilmu lainnya. Contohnya, meskipun sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali dan para sarjana falsafah Yunani (Greek) seakan-akan bermula dengan andaian, namun perbezaan di antara mereka amatlah jelas. Imam al-Ghazali bermula dengan sesuatu yang diyakini tetapi hal ini tidak ada pada sarjana falsafah Yunani misalnya dalam konsep kewujudan Tuhan. Justeru ini bercanggah dengan dialectic method yang menjadi teras keilmuan Barat, yang sentiasa mencurigai segala perkara. Dengan demikian, falsafah Barat tidak mungkin akan mencapai kebenaran; kerana kebenaran itu sentiasa diragui.
Justeru, pendidikan semula seseorang insan agar membentuk “insan adabi” yakni insan yang beradab di mana proses menuntut ilmu pengenalan-pengakuan berlaku merupakan matlamat akhir pendidikan Islam. Jawapan bagi persoalan yang kompleks misalnya qadha’ dan qadar, hanya boleh digarap dengan menempuh pelajaran serta pendidikan semula mengenai Islam dan pandangan alam. Hakikat yang ditayang olehnya akan terjawab, sejajar dengan martabat kefahamannya yang akan meningkat dari tahap ke tahap yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment